SIARAN MEDIA

Kumpulan MyCreative Mengalu-alukan Pengerusi Kumpulan Baharu, Dato Muhammad Bakhtiar Wan Chik

KUMPULAN MYCREATIVE MENGALU-ALUKAN PENGERUSI KUMPULAN BAHARU, DATO’ MUHAMMAD BAKHTIAR WAN CHIK

KUALA LUMPUR, 10 MAC 2023 – Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (“MyCreative”) mengumumkan pelantikan Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai Pengerusi baharu, berkuat kuasa hari ini. Dengan lebih daripada 34 tahun pengalaman pengurusan kanan dan perancangan strategik, Dato’ Bakhtiar menggantikan Noor Azmi Mat Said, yang baru menamatkan penggalnya selepas berkhidmat di MyCreative sejak dua tahun lalu.

“Saya amat berbesar hati kerana telah diamanahkan untuk memegang peranan ini ketika industri kreatif melalui detik yang cukup penting. Dengan kemunculan idea-idea inovatif daripada artis tempatan pada era pasca-pandemik, ini adalah masa paling tepat untuk menjadi sebahagian daripada sektor yang dinamik ini. Saya sangat teruja untuk bekerja bersama-sama dengan pasukan berbakat di MyCreative dan entiti-entitinya untuk menyokong serta meningkatkan idea-idea berwawasan ini dengan strategik. Secara jangka panjang, sektor ekonomi jingga ini mempunyai potensi yang cukup positif dan ia akan memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada KDNK negara, dengan unjuran sehingga RM31.9 bilion menjelang tahun 2025. Saya komited untuk bekerja keras dengan pasukan MyCreative bagi mencapai matlamat ini dan membantu memastikan kejayaan serta pertumbuhan industri kreatif yang berterusan,” kata Dato’ Bakhtiar.

Berasal dari Pulau Pinang dan seorang alumni Penang Free School, Dato’ Bakhtiar memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Arizona, Tucson, Arizona, Amerika Syarikat. Beliau memulakan kerjaya korporatnya pada tahun 1989 di Malaysia Smelting Corporation sebagai Pegawai Kakitangan dan terus mendaki tangga korporat dengan menerajui pelbagai inisiatif inovatif di organisasi yang berbeza, sehingga jawatan terakhirnya di Linear Technology Corporation sebagai Ketua Jabatan Sumber Manusia pada tahun 2013.

Dato’ Bakhtiar juga turut memegang beberapa jawatan di sektor awam. Pada usia 57 tahun, beliau merupakan Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Balik Pulau di Dewan Rakyat selama 2 penggal. Pada tahun 2018, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Semasa memegang jawatan tersebut, Dato’ Bakhtiar turut dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pelancongan dan Pasukan Petugas KLIA, di mana beliau telah memimpin dengan cemerlang. Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis untuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang dari tahun 2013 hingga 2018, di mana beliau memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bandar raya itu.

“Kami teruja untuk bekerja bersama Dato’ Bakhtiar yang berpengalaman luas menerajui pembangunan dan perancangan strategik serta mempunyai minat yang tinggi terhadap seni, budaya dan warisan. Ini semua dapat membantu dalam usaha membawa usahawan dan penggiat seni tempatan ke peringkat global. Adalah menjadi matlamat kolektif kami untuk memastikan MyCreative memberi impak positif kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem kreatif, termasuk artis, usahawan, pelabur, dan masyarakat. Kami yakin kepimpinan luar biasa Dato’ Bakhtiar dan komitmen beliau terhadap kecemerlangan akan membantu kami mencapai matlamat dan memacu pertumbuhan serta kejayaan industri kreatif di Malaysia,” kata Junady Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative.

“Lembaga Pengarah dan Pengurusan MyCreative ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noor Azmi atas sumbangan beliau kepada pembangunan industri kreatif sebagai Pengerusi sebelum ini. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah dikenali sebagai seorang pemimpin yang berpendirian dan bijaksana, yang tidak pernah gusar menghadapi keputusan yang sukar, membantu kami mengharungi salah satu masa yang paling mencabar dalam sejarah semasa era pandemik.Lebih-lebih lagi, beliau telah berbuat demikian sambil menunjukkan sikap profesionalisme dan kebolehan yang wajar diteladani oleh seluruh ahli pasukan MyCreative yang cukup bertuah kerana dapat bekerjasama dengan beliau serta meneruskan legasinya,” tambah Junady.

#TAMAT#

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Falliq Effendy

Pengurus, Komunikasi Strategik

falliq@mycreative.com.my | +6012 932 1347

Alia Wahidin

Komunikasi dan Media, weareCXPR

alia@wearecxpr.com.my | +6017 991 5354

Felicia Ds

Komunikasi dan Media, weareCXPR

felicia@wearecxpr.com.my | +6010 290 3092

MENGENAI KUMPULAN MYCREATIVE

MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (“MyCreative”/“Kumpulan MyCreative”) ditubuhkan dengan objektif untuk memajukan industri kreatif Malaysia melalui pelaburan strategik dan inovatif. Diperbadankan pada tahun 2012, MyCreative merupakan sebuah subsidiari milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dibawah seliaan Kementerian Komunikasi Digital Malaysia (KKDM). Kumpulan MyCreative terus menyokong industri kreatif melalui pengenalan unit-unit di bawahnya iaitu R!UH dan CENDANA pada tahun 2017.

Berikutan pembukaan sektor kreatif, tumpuan Kumpulan MyCreative dipertingkat untuk memacu ekonomi jingga Malaysia melalui inisiatif pembangunan ekosistem yang disusun secara strategik, menerusi bantuan pembiayaan dan pelaburan inovatif, demi mencapai objektif utama untuk meningkatkan sumbangan ekonomi daripada sektor kreatif.

Read More
Other Press Releases