SIARAN MEDIA

RM12 Juta Dana Kandungan Digital Industri Muzik 2023 Bakal Lonjakkan Ekosistem Muzik Tempatan

RM12 JUTA DANA KANDUNGAN DIGITAL INDUSTRI MUZIK 2023BAKAL LONJAKKAN EKOSISTEM MUZIK TEMPATAN

KUALA LUMPUR, 20 September 2023 – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) bakal menawarkan Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik 2023 pusingan kedua kepada penggiat muzik tempatan. Dana ini melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi tiga kategori, dengan peluang bantuandana mencecah nilai RM300,000.

Susulan daripada DKD Industri Muzik 2023 pusingan pertama pada awal tahun ini, sebanyak RM10 juta telah diluluskan dan diberikan kepada 43 penerima. Dana pusingan kedua ini bakal memberikan sokongan kepada lebih ramai penggiat muzik melalui tiga kategori utama, iaitu Dana Persembahan Muzik 2.0, Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0 dan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa 2.0.

Selain membangunkan modal insan yang kompetitif, dana ini juga dapat mewujudkan industri muzik berdaya saing untuk menghasilkan impak ekonomi yang positif. Penerima akan dipilih berdasarkan merit dan kebolehlaksanaan permohonan, selain kebolehpasaran yang mampu mengembangkan ekosistem muzik negara.

Permohonan DKD Industri Muzik 2023 pusingan kedua akan dibuka bermula 22 September 2023. Bagi kategori Dana Persembahan Muzik 2.0 dan Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0,tempoh permohonan akan berakhir pada 6 November 2023. Manakala bagi Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa 2.0, permohonan akan dibuka sepanjang tahun.

Sejak diperkenalkan pada 2022, DKD Industri Muzik bawah seliaan MyCreative ini telah membantu lebih 1,500 tenaga kerja tempatan dalam pelbagai bidang untuk bangkit semula mendepani pascapandemik dengan peruntukan dana yang hingga kini berjumlah RM13 juta. Program ini merupakan antara inisiatif yang menjadi penggerak utama industri kreatif sertamenyumbang kepada ekonomi negara secara mampan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.mycreative.com.my/dkdmuzik_2023.

Disediakan oleh:

MyCreative Ventures Sdn. Bhd

Read More
Other Press Releases